Kemuncak Populariti (1995 - 1999) Kumpulan_Slam

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Album kedua mereka yang diberi judul Kesan Terbukti ternyata mengubah nasib kumpulan Slam apabila album ini berjaya meletakkan mereka sebaris dengan kumpulan-kumpulan muzik gergasi tanah air dari segi jualan, kualiti dan populariti. Album ini meletup di pasaran sekaligus nama Slam tiba-tiba sahaja menjadi sebutan di kalangan peminat muzik tempatan sementara di Indonesia, album ini dipasarkan dengan judul Tak Mungkin Berpaling. Lebih membanggakan apabila 5 single di dalam album ini berjaya menguasai carta radio seluruh Nusantara. Lagu Kembali Terjalin, Tak Mungkin Berpaling, Nur Kasih dan Bukan Niat Membalas Derita merupakan rangkaian lagu-lagu hits nombor satu petikan album ini. Sebuah lagi lagu mereka, Manisnya Rindu juga memberi impaknya yang tersendiri. Album ini menjadi antara album terbanyak melahirkan single di kedudukan nombor 1 di Malaysia dan Indonesia. Ramai yang menyifatkan lagu Tak Mungkin Berpaling adalah lagu yang benar-benar mencerminkan identiti muzik yang ingin dibawa oleh Slam selama ini. Segalanya berbaloi apabila album Kesan Terbukti mencecah angka 300,000 unit di pasaran Malaysia & Singapura dan terjual lebih 500,000 unit di Indonesia. Hal ini telah melayakkan Slam menerima anugerah platinum berkembar dari syarikat rakaman mereka. Kejayaan album ini juga membawa kepada pertambahan anggota di mana Eddie yang sebelum ini merupakan pemuzik undangan akhirnya diserap masuk sebagai anggota tetap Slam.

Slam seterusnya mengeluarkan album kompilasi Terbaik Slam pada penghujung 1995 sebagai bekalan sementara menunggu proses rakaman album ketiga mereka selesai. Ternyata ketiga-tiga lagu bonus petikan album kompilasi tersebut mengungguli carta, terutama sekali lagu Gerimis Mengundang yang menjadi lagu paling popular pada tahun 1996 sehingga pernah dirakam dalam 24 versi saduran oleh penyanyi pelbagai negara dan bahasa serta layak ke peringkat akhir AJL dan AIM. Lagu ciptaan Saari Amri ini menjadi antara lagu Melayu paling masyhur dalam sejarah muzik Nusantara. Terdapat parodi dan filem yang diterbitkan berdasarkan lagu ini. Dua buah lagi lagu yang hits daripada album yang terjual lebih 200,000 unit ini ialah Kurnia dan Jalan Keindahan.

Album ketiga mereka yang berjudul Kembali Merindu telah berada di pasaran pada pertengahan tahun 1996. Dalam album ini, Slam telah membuat pembaharuan yang drastik ke arah memantapkan lagi muzik mereka. Mereka mulai sedar dimana target Slam untuk mencapai tahap tertinggi dalam industri muzik sudah semakin hampir untuk digapai. Hasilnya mereka meraih kejayaan sekali lagi menerusi single popular seperti Jika Kau Rasa Getarnya, Kita Terpaksa Bermusuhan dan Kembali Merindu. Album ini juga terjual lebih 250,000 unit di Malaysia dan 400,000 unit di Indonesia. Mengekori kejayaan ini ialah sebuah konsert berskala mega yang dijayakan oleh Slam, Slam Live Concert Unplugged pada 3 Ogos 1996 diiringi orkestra di bawah pimpinan Dato' Ramli M.S. di Stadium Negara hingga membawa kejayaan besar apabila Slam diiktiraf dengan Anugerah Kembara dan Zamani diiktiraf sebagai pemenang kategori Persembahan Vokal Di Dalam Album (Lelaki) menerusi album Slam Live Concert Unplugged (1996) di Anugerah Industri Muzik ke-4 pada tahun 1997.

Pada tahun 1998, Slam muncul dengan album Dalam Harapan dengan sedikit pembaharuan demi memastikan piawaian mutu terjaga. Album ini mempertaruhkan single Mentari Muncul Lagi yang meledak pada tahun tersebut. Ketika ini Slam sudah mula berjinak-jinak dalam dunia perfileman dengan pelawaan jutawan filem Yusof Haslam untuk beraksi dalam Bara serta sebuah lagi filem yang tidak disiapkan berjudul Cindai Asmara. Kerana agak lari fokus, album ini tidak begitu mengujakan peminat tambahan persaingan daripada kumpulan baharu seperti Spoon dan Def Gab C. Pun begitu, AIM mengiktiraf album ini apabila tercalon dalam kategori Album Pop Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-6 pada tahun 1999.

Pada tahun 1999, penyanyi utama mereka pula dikaitkan dengan masalah disiplin dan kesihatan. Zamani memberi bayangan akan meninggalkan Slam sehingga membuatkan ramai peminat tidak puas hati. Slam membuat kemunculan terakhir bersama Zamani menerusi album kompilasi Best of Slam pada tahun 1999 dan popular menerusi single berjudul Rindiani. Pada penghujung tahun 1999, Slam secara rasmi direhatkan seketika apabila Zamani keluar dan Shah pula sebagai ketua kumpulan bertindak menyertai kumpulan lagenda Search untuk album Selepas Banjir.